.

12/10/10 TANJUNG BELUKU JADI TANJUNG HARAPAN: PEMESONGAN FAKTA!

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - October 28, 2010

Share

& Comment


(Gambar ini adalah sebahagian dari Batang Tambirat. Saya gunakan kerana ianya seakan-akan pola geografi Batang Sadong dilihat dari udara berseberangan dengan pekan Simunjan. Kawasan tanah yang terbentuk pada selekoh sebelah kiri Batang Sadong membentuk kawasan seakan-akan sebuah segenting (ithmus), dan kawasan inilah yang dinamakan sebagai Tanjung Beluku. Di kanan, sebuah lubok seakan-akan perut ular sawa kenyang, di namakan Luboh Shamsu)

Kini sudah ada usaha untuk menamakan semula kawasan ini kepada Tanjung Harapan (sama makna dengan Cape of Good Hope, di Afrika Selatan!). Nama asal kawasan ini adalah Tanjung Beluku.

(2) Perkataan beluku adalah satu istilah Melayu Sarawak-Sambas, dan dalam bahasa Melayu baku, ianya boleh berertikan: terlalu; kerterlaluan; paling atau dalam bahas Inggeris: hardcore. Namun dalam bahasa Melayu Sarawak, ianya selalu terkait denga sifat bodoh, degil, bohong, dan segala sesuatu yang menampakkan kepribadian yang tidak baik. Namun, ianya juga boleh diguna untuk menunjukkan sifat kepribadian baik, contohnya: beluku taat, beluku kelakar, beluku berani, dsb. Pendeknya, beluku adalah satu penambah kata, bagi menguat tentang sesuatu kata-sifat.

(3) Secara fizikal, istilah beluku boleh bermaksud bergumpal. Contohnya, bila kita mengadun tepung, jika adunan kita tidak sempurna akan terbentuk gumpalan-gumpalan bebola. Sama juga dalam pendarahan yang berlebihan akan membentuk beluku-gumpalan. Beluku kahak, kahak yang bergumpal pekat; beluku emas-bungkah emas; beluku gula apong-gumpalan gula nipah, dsb!

(4) Perhatikan baik-baik gambar seperti yang disisipkan, Batang Sadong sebenarnya mengalir pada lembangan tanah gambut yang sangat luas samada di sebelah kiri (Samarahan) atau kanannya (Batang Lupar). Di sebelah kanan gambar ini, kelihatan 'Water Body' seakan-akan 'perut' ular sawa yang tengah kenyang, menunjukkan betapa hakisan hebat sering terjadi di kedua-dua belah 'perut ular sawa' tersebut. Di sebelah kanan dari perut ular sawa tersebut, dinamakan sebagai Lubok Shamsu. Saya pernah menulis tentang kisah pergelutan Bujang Shamsu dan Bujang Samarahan sedikit masa dulu di tempat ini, dan mudah-mudahan dengan ini, tidak ada orang dikemudian hari akan berkata bahawa, tempat ini adalah tempat dulu-dulu bagi pengeluaran samsu!

(5) Hakisan di Batang Sadong, terutama kawasan ke hulu dari Tanjung Beluku ini, melibatkan kawasan tanah-tanih gambut. Sifat gambut di sini yang sangat muda, adalah kebanyakannya merupakan akar-kara kayu. Bila terhakis, tanah-tanah gambut, disebabkan pengaruh hidrologi akan membentuk gumpalan. Maka, gumpalan-gumpalan inilah yang akan hanyut dibawa arus, dan selalunya, akibat pusaran air (ulak kata orang tempatan) di sekitar 'Tanjung Beluku' maka gumpalan-gumpalan ini akan berlegar-legar (oghang Kedah kata, dok musing) di kawasan ini dan akhirnya sering terdampar di tebing sungai.

(6) Kalau kita menaiki bot, kita akan masih dapat melihat fenomena geografi ini di sini, sehingga kini. Selain 'beluku' gambut, batang-batang kayu, segala sampah, dan bahkan kini sudah banyak buaya bersidai di sini.

(7) Orang-orang zaman dulu-dulu, iaitu zaman datuk saya dan rakan-rakannya (salah seorang darinya adalah ayah kepada seseorang yang sering saya sebut sebagai Wak Daik) datang ke sini sebagai salah seorang peneroka awal kawasan ini, menamakan kawasan ini sebagai Tanjung Beluku. Mereka menamakan kawasan ini sebagai Tanjung Beluku atas fakta alami-semulajadi geografi, dan tidak sekali-kali atas dasar sifat-sifat pribadi manusia! Inilah sejarah sebenar penamaan Tanjung Beluku!

(8) Kenapa pula nama Tanjung Beluku kini mahu ditukar jadi Tanjung Harapan? Bagi saya, secara geografi, kawasan ini bukanlah sebenarnya sebuah tanjung, sebaliknya adalah sebuah segenting (ithmus) sama juga dengan ithmus di Kuching yang letak-duduknya Borneo Convention Center. Lebih elok mungkin kita namakan kawasan ini sebagai Segenting Harapan dari Tanjung Harapan, namun, saya berkira, elok kita kekalkan saja nama Tanjung Beluku tetap sebagai Tanjung Beluku!

(9) Salah satu alasan (saya kira bukan sebab!), nama itu hendak ditukar, hanya kerana kawasan ini masih mundur! Beluku mundur! Beluku ketinggalan! Beluku miskin! Beluku payah-susah!Jika itu alasannya, secara saikologi, sebetulnya, kita seperti sedang berkias, bahawa kawasan ini mundur kerana orang-orang di sini: beluku-beluku belaka! Dalam semantik bahasa Melayu Sarawak, Tanjung Beluku, tetap mundur, tetap masih keterbelakang kerana orang-orang di sini beluku malas, beluku bodoh! Itulah kiasannya, itulah saikologinya, saya berkira!

(10) Yang mencadang nama ini ditukar sebegitu rupa, tidak mungkin berniat sebegitu. Namun, masa akan berlalu. Pasti 100 tahun akan datang akan ada yang bertanya, bagaimana nama Tanjung Harapan diujudkan, dan saat itu pasti ada juga yang tetap menyimpan peta lama, dan pasti terpancar Tanjung Beluku sebagai nama asalnya. Saat itu, pasti ada yang bertanya-tanya, kenapa nama itu ditukar!

(11) Tidakkah mungkin, saat itu pasti ada yang membuat telahan (speculation), bahawa pasti ianya terkait dengan sifat tak baik, sedangkan hakikat sejarah-geografinya tidak sama sekali.

(12) Cuba kita lihat di New Zealand, di Australia, bahkan di Amerika, mereka begitu bangga dengan nama-nama lama. Mereka kekalkan nama-nama lama ciptaan masyarakta asal tempatan, kerana ianya kemudian hari ada nilai sejarah, ada nilai tarikan luar buat renungan anak cucu seterusnya! Colorado, bukan nama yang diberikan oleh bangsa Kaukasian, tetapi nama pemberian kaum Mexico!

(13) Saya menulis mengenai perkara ini, bukan untuk berpolimik sia-sia. Sekarang kita bertanggapan beluku membawa maksud sifat pribadi yang tidak baik, sedang hakikat sebenarnya bukan. Maka, kenapa kita selalu saja berbuat sesuatu tidak berasaskan fakta?

(14) Jikapun kita hendak mengenenggahkan saikologi ke depan (forward feeling good psychology), kenapa tidak kita bangunkan saja Tanjung Beluku dengan segala bentuk kehebatan pembangunan, dan kemudian kita tulis dalam sejarah bahawa kehebatan kemajuan Tanjung Beluku adalah kerana sifat beluku gagah, beluku rajin, beluku tekad, beluku taat, beluku segala beluku kebaikan. Telah tiba masanya, kita berpijak pada hakikat dan tidak bertindak atas prasangka (speculative).

(15) Jika kita mahu berprasangka, elok istilah Melayu kita juga tukar. Dalam bahasa Melayu, istilah melayu itupun tidak baik maksudnya; lembik, mengecut! Lebih dahsat kalau ditilik dari bahasa Jawa, melayu: lari, terus lari dari segala-gala! Namun apakah itu hakikatnya, kebenarannya?

(16) Pendeknya, telah tiba saatnya, kita mengasak ke dalam masyarakat kita, bahawa kita tidak boleh bertindak atas prasangka. Sebaiknya kita berdiri dan berjalan atas hakikat kebenaran.

(17) Kepada masyarakat Kampung Tanjung Beluku, tiada cacatnya pada nama itu. Cuba fikirkan nama-nama seperti Batang Berjuntai, Tengkek, Seram, Bukit Mertajam, Kuala Penyu (bolehkah kita kata orang-orang di sini lambat macam penyu!), dsb. Mudah-mudahan kaliuan punya jati diri: beluku berani, beluku rajin, beluku pentar, dsb!

(18) Saya tetap menyimpan beluku terasi-belacan!


Terasi, Pendam, Simunjan
28 Oct., 2010

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

2 comments:

Anonymous said...

Salam.Mang Chek...setuju nama Tanjung Beluku tetap di sebut Tanjung Beluku...

Anonymous said...

Nonok dipotong jadi Asa Jaya, Pendam ditimbus timbulah Sadong jaya, Kalau Belukuk perlu suatu Harapan, tapi Tg. Beluku memang patut dikekalkan

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.